Friday, 24 June 2011

Pementasan sebuah kehidupan...

Sebelum saya memulakan entry ini saya memohon anda menepuk tangan dan mengucapkan tahniah bukan kepada saya tetapi kepada diri anda sendiri. Atas dasar apa? Atas dasar anda telah terpilih untuk menyertai suatu pementasan realiti yang diarah oleh 'Pengarah Agung' yang terkenal seantero langit dan bumi. Tahniah, kerana ada merupakan insan terpilih untuk sama-sama berpeluang menyertai pentas realiti ini. Aku pun sama turut terpilih untuk menghiasi pentas realiti ini.

Realiti kehidupan sebagai seorang artis ini memang banyak dugaannya, jika dilihat dari mata kasar, seakan-akan hidupku ini tiada masalah. Semua memandangkan aku seperti seorang artis yang merendah diri dan baik budi perkerti, sehinggakan ada pemerhati yang pernah melabelkan aku ini seperti makhluk suci dari dosa. Memang semuanya indah disaat pemerhati-pemerhati mememuji dan menyanjungku. Ya aku mengucapkan jutaan terima kasih di atas pujian tersebut. Namun, realiti di dalam realiti, aku bukanlah seperti yang pemerhati anggap. Perlukah aku menjadi seorang artis yang hipokrit? Bagi aku jawapannya semestinya ya. Kenapa? Bukankan hipokrit itu suatu sifat yang tercela?

Bagi aku sebagai seorang artis ini kita perlu ada sedikit hipokrasi dalam diri, ia perlu tersangatlah perlu apabila kita berdepan dengan pemerhati-pemerhati yang sentiasa ini melihat kita tersungkur di atas pentas yang terbentang luas ini. Ku akui sebagai seorang artis kadang kala akan melakukan kesalahan? Mengapa, jawapannya mudah sahaja: Aku juga insan yang lemah seperti kalian juga. Ada kala aku mungkin akan tersalah pilih, namun di pementasan realiti ini, situasinya jauh berbeza dengan set filem box office - pementasan memerlukan artisnya mengawasi segala tindak tanduknya, jika tersilap langkah mungkin ada akan berhadapan dengan 'kemaluan' yang besar dan berpanjangan tidak seperti di set perfileman, jika ada kesalahan boleh di cut dan edit atau rakam semula. Tetapi tidak dengan pementasan.

Aku tahu, sebagai seorang artis, ramai pemerhati yang ingin melihat aku tersungkur ditepi pentas. Namun ada juga pemerhati yang setia yang menghulurkan bantuan dan menyokong serta memberi semangat agar aku sentiasa tabah di atas pementasan ini terus berjuang sehingga ke penamat, tidak kurang juga ada pemerhati yang suka mengkritik, dan makin lantang mengkritik apabila aku ketelanjuran melakukan kesalahan. Aku bukan malaikat, bukan nabi yang maksum. Aku manusia seperti kalian, sentiasa terdedah dan terdorong melakukan kesalahan. Ampunkan aku jika ada ketelanjuran, berikanlah aku peluang dan ruang untuk memperbetulkannya.

Jesteru, aku ingin merakamkan seribu kekesalan dan ingin memohon keampunan daripada 'Tuan Pengarah' kerana aku merupakan salah seorang 'artis' yang senantiasa melakukan masalah di bawah produksinya. Aku senantiasa cepat berputus asa di dalam menjayakan sebuah pementasan realiti ini. Akhir kata, aku mohon rahmat dan petunjuk dariMu wahai Tuan Pengarah, pemilik seluruh pentas realiti ini.

No comments:

Post a Comment